Wednesday, December 17, 2008

Pengenalan

Saya anak seorang peniaga dan juga seorang surirumahtangga. Merupakan anak ke-5 dalam enam orang adik-beradik. Kakak saya yang ke-4 meninggal dunia semasa dilahirkan. Maka saya kini tinggal mempunyai tiga orang kakak dan seorang adik lelaki.

Dilahirkan dan dibesarkan di Singapura, saya sudah terbiasa dengan cara hidup di kota. Ada masanya rentak kehidupan terlalu cepat berlalu. Dan ada ketikanya saya seakan lemas dengan cara kehidupan yang sering berlumba-lumba.

Namun dek kerana sekian lama terdedah dengan suasana kosmopolitan, tatkala sesekali saya dapat menghirup angin desa, jiwa ini pula terasa agak resah akan kedamaian yang pada saya agak luar biasa.

Mungkin itulah lumrah manusia, tidak pernah puas dengan apa yang dianugerahkanNya. Dan mungkin sebab itulah jiwa ini ada masa-masanya terasa kosong, gelisah dan lara. Sebagai manusia biasa, saya terdedah kepada permainan emosi yang tiada henti pasang-surutnya.

Maka lahirlah blog ini. Di mana suara dari sudut hati saya akhirnya dapat diluahkan. Teringat pula saya dialog dari filem "KL Menjerit", di mana watak yang bernama Tun yang akhirnya mati secara tragis akibat kemalangan jalanraya menyatakan betapa "cakap itu seperti ubat" kerana ia dapat mengurangkan kesakitan di dalam diri kita.

Bagi diri saya, menulis itu adalah sebagai penawar di dalam melayan jiwa nan rawan ini. Oleh yang demikian, blog yang tidak seperti ini bakal menjadi saksi kepada apa yang saya fikir, apa yang saya rasa dan apa yang saya dambarkan selama ini.

Dari itu, izinkan saya kini memulakan perjalanan yang satu ini....Semoga kita sama-sama dapat saling belajar, memahami dan menghargai.

Muhammad Nadim Adam.